amalan

Lakukan 6 Amalan Ini Jika Ingin Ganjaran Syurga.

2024-07-10

Lakukan 6 Amalan Ini Jika Ingin Ganjaran Syurga. | TAZKIRAH HARIAN :   Setelah seseorang itu dipisahkan roh daripada jasadnya, dia kemudian akan melalui alam-alam seterusnya di akhirat. Sebagai seorang yang waras, tentu sekali kita mengidamkan syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan yang kekal abadi.

amalan

Namun, syurga bukan percuma. Tentu sekali terdapat amalan selain amalan wajib atau fardu yang boleh kita amalkan bagi mencapai syurga. Oleh itu, terdapat enam amalan khusus berdasarkan hadis Nabi SAW yang mana Baginda menjamin syurga bagi orang yang melakukan amalan tersebut.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut:

1. Memelihara anak yatim

Menurut Imam al-Jurjani, yatim ialah seseorang yang bapanya meninggal dunia kerana nafkah adalah di atas tanggungjawab bapa tersebut, bukan atas ibu. [Rujuk, al-Ta’rifat, al-Jurjani, ms. 254]

Had umur dikira sebagai yatim pula adalah sehingga seseorang itu mencapai baligh. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak ada keyatiman setelah baligh.” [HR Abu Daud, 2873] al-Albani menghukum Sahih, al-Arnauth menghukum Hasan li Ghairih.

Kelebihan memelihara anak yatim sangatlah besar iaitu dijamin syurga oleh Nabi SAW sebagaimana dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari baginda SAW) di syurga.” [HR Muslim, 2983]

2. Solat sunat wuduk

Pada suatu hari, Rasulullah SAW bertanya kepada Bilal RA, maksudnya: “Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan paling terbaik yang kamu lakukan di dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku di dalam syurga.”

Lalu, Bilal RA membalas, maksudnya: “Tidaklah aku melakukan amalan yang paling baik di sisiku, aku ini tidak berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan mendirikan solat dengan wuduk tersebut dengan kadar yang ditetapkan untuk aku solat (2 rakaat).” [HR al-Bukhari, 1149]

3. Solat sunat rawatib

Nabi SAW ada bersabda berkenaan kelebihan Solat Sunat Rawatib ini yang mana maksudnya:

“Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam, kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” [HR al-Tirmizi, 415] Al-Tirmizi menyebut ia Hasan Sahih. Al-Albani menghukum Sahih.

4. Berakhlak mulia

Kemudian, baginda Nabi SAW pernah ditanya akan amalan apakah yang paling banyak memasukkan pelakunya ke dalam syurga? Persoalan itu sebagaimana di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Nabi SAW ditanya akan amalan yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga, lalu Rasulullah SAW menjawab, “berakhlak baik”. [HR Ahmad, 7907] al-Arnauth menghukum Hasan.

5. Membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardu

Amalan ini boleh dikatakan antara yang paling mudah untuk diamalkan, namun ganjaran dan kelebihannya amatlah besar. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.” [HR al-Nasa’i, 9848] al-Albani menghukum Sahih.

6. Menziarahi orang sakit

Amalan menziarahi orang sakit ini merupakan suatu hak ke atas kita terhadap sesama manusia apabila mereka jatuh sakit dan ditimpa musibah.

Tuntutan bagi menziarahi orang sakit dalam Islam amatlah tinggi sehingga perlakuan ini dijanjikan ganjaran syurga sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru yang menyeru dari langit(malaikat): Kamu adalah orang baik, dan langkahmu juga baik dan engkau berhak mendapat satu tempat di syurga.” [HR Ibn Majah, 1443] al-Albani menghukum Hasan.

Jom melancong ke Vietnam, boleh lihat pakej Vietnam dengan harga berbaloi.

Justeru, sama-samalah kita berusaha dalam melakukan amal-amal seperti yang telah dinyatakan agar kita dapat menggapai syurga yang kita idamkan.

Artikel Lain