Hukum Cipta Imej Realistik Patung Maya. Ini Penjelasan UAI.
“Nak tengok hukum kena tengok adakah patung itu jadi pada alam nyata atau gambarnya sahaja.”
Tak dinafikan sejak wujudnya media sosial pelbagai trend mula diperkenalkan dan dilakukan oleh orang ramai. Ada segelintir trend yang dilakukan adalah bagus dan memberikan kebaikan namun tidak kurang juga ada yang mendatangkan keburukan.
Ketika ini di media sosial ramai yang mencipta imej realistik gaya figura (figure) diri sendiri. Dengan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) Google Gemini Nano Banana.
Perkara itu dipercayai hanya dilakukan sekadar suka-suka dan mengikut trend terkini, namun ada segelintir tertanya adakah ianya dibenarkan di dalam Islam?
Apa hukum cipta imej realtistik patung maya?
Baru-baru ini pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus ada menjelaskan mengenai hukum membuat trend patung atau imej tersebut.
Jelasnya ia bergantung kepada tujuan serta bentuk patung berkenaan.
“Nak tengok hukum kena tengok adakah patung itu jadi pada alam nyata atau gambarnya sahaja. Kalau jatuh patung itu di alam nyata, boleh ada bayang, maka tengok tujuan pula.
“Membuat patung ini ada dua hukum iaitu harus dan haram. Harus apabila dibuat untuk tujuan pembelajaran,” jelasnya.
Patung dicipta perlu lihat tujuan, jika untuk pendidikan atau keselamatan hukum adalah harus.
Ustaz Azhar turut memberikan contoh seperti patung yang digunakan di kebanyakan universiti atau institut pengajian tinggi adalah bertujuan untuk pembelajaran selain patung yang dibina untuk menjaga keselamatan jalan raya.
“Kalau patung-patung macam tu, hukumnya harus. Ulama’ kata harus dalam kitab Arab, kitab Jawi pun ada (dinyatakan hukum) dalam mukadimah kamus al-Marbawi depan sekali.”
Namun jelasnya, sekiranya patung-patung berkenaan dimuliakan atau diagungkan adalah haram hukumnya dengan ijmak ulama.
“Ada pun kalau tidak menjelma di alam nyata, hanya duduk di alam maya sahaja, sekadar imej untuk simpan dalam album atau dilihat secara suka-suka, tidak jatuh haram melainkan ada rupa yang mengaibkan,” jelasnya lagi.
Dalam satu video yang dikongsikan di YouTube, Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan mengenai penggunaan teknologi AI seperti melukis atau menyunting gambar.
Semoga bermanfaat dengan perkongsian ini. Jangan lupa kongsi artikel ini.









