Dalam kehidupan moden yang serba sibuk. Isu saman trafik sering dipandang ringan kerana ramai beranggapan ia sekadar hal pentadbiran kecil yang boleh ditangguhkan. Perunding Pewarisan Harta Islam, Nurha Consultancy, Ustaz Muhammad Nur Hafidz Abd Nasir menjelaskan. Dari sudut syariah Islam, saman bukan sekadar denda tetapi satu bentuk hak kewangan yang wajib diselesaikan.
“Ini kerana ia melibatkan tanggungjawab terhadap pihak berkuasa dan kepentingan awam,” katanya. Beliau menambah, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan. Sekiranya saman dikeluarkan atas kesalahan yang memberi kesan buruk kepada orang lain, maka menjadi kewajipan untuk membayar saman tersebut.
“Tidak melunaskan saman dianggap sebagai hutang kepada kerajaan. Dan termasuk dalam tanggungjawab yang mesti dijelaskan walaupun selepas kematian seseorang,” katanya.
Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang beriman, taatilah kamu kepada Allah dan taatilah Rasul serta ‘ulil amri (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu.” (Surah an-Nisa’: 59)
Ujarnya, saman trafik bukan denda semata-mata. Tetapi bentuk takzir iaitu hukuman yang ditetapkan oleh pihak pemerintah untuk mendidik masyarakat agar mematuhi undang-undang, menjaga keselamatan dan mengelakkan kemudaratan kepada diri serta orang lain.
Hukum tidak membayar saman
Menjelaskan lebih lanjut, seseorang yang mampu membayar saman tetapi sengaja melengahkan atau enggan membayarnya tanpa sebab munasabah dikira berdosa.
“Perbuatan itu termasuk dalam kategori menangguh bayaran hutang sedangkan kemampuan itu ada.
“Selain itu, pelanggaran undang-undang jalan raya yang menyebabkan kemudaratan kepada orang lain turut menambah dosa kerana ia melibatkan unsur zalim terhadap masyarakat.
“Membayar saman hanyalah memenuhi hak duniawi. Namun seseorang itu juga perlu bertaubat atas kelalaian atau perbuatan berisiko yang dilakukan di atas jalan raya,” hurainya panjang.
Meneruskan hujahnya, pendakwah itu berkata. Dalam disiplin fiqh, saman trafik termasuk dalam kategori ta’zir bi al-mal iaitu hukuman berbentuk kewangan yang dikenakan oleh pemerintah terhadap kesalahan tertentu untuk tujuan pendidikan dan pencegahan (zajr wa ta’dib).
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan, ramai ulama seperti Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Al-Qayyim berpandangan bahawa hukuman berbentuk kewangan dibenarkan apabila ia membawa maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum).
“Ia bertepatan dengan prinsip Sadd az-zarai’ iaitu menutup jalan yang membawa kepada kemudaratan atau mafsadah,” jelasnya.
Justeru katanya, peraturan lalu lintas dan saman yang dikuatkuasakan kerajaan merupakan manifestasi tanggungjawab ulil amri atau pemimpin untuk menjaga keselamatan nyawa dan harta rakyat.
Meskipun majoriti fuqaha menolak hukuman berbentuk kewangan kerana bimbang berlaku kezaliman, ujarnya. Pandangan minoriti yang membenarkannya menunjukkan ruang ijtihad dalam konteks pentadbiran moden termasuk saman trafik selagi ia menepati keadilan, maslahat dan tidak disalah guna.
Gugur tanggungjawab jika mati?
Timbul persoalan, apakah gugur tanggungjawab sekiranya meninggal dunia? Ustaz Muhammad Nur Hafidz menjelaskan, saman trafik berbentuk hukuman individu (ta’zir syakhsi) dan ia mengikut keadaan:
1 – Jika seseorang itu meninggal dunia sebelum sempat membayar saman, maka hukum asalnya saman tersebut gugur dengan kematian kerana ia termasuk dalam kategori hukuman peribadi.
2 – Jika peraturan negara menetapkan bahawa saman tidak gugur dengan kematian, maka saman itu menjadi hutang yang wajib dilangsaikan daripada harta peninggalan si mati (sekiranya masih ada).
3 – Jika si mati tidak meninggalkan harta, maka tidak menjadi kewajipan ahli waris untuk membayar saman tersebut daripada harta mereka sendiri. Namun ia termasuk dalam ihsan waris untuk melunaskan hutang bagi pihak si mati.
Ujarnya, dalam konteks pentadbiran moden. Sekiranya undang-undang menetapkan saman mesti diselesaikan bagi urusan kenderaan atau harta pusaka. Maka ia termasuk dalam tuntutan kewangan yang wajar dilangsaikan daripada harta peninggalan bagi menutup tanggungan si mati.
Sebagai kesimpulan, beliau mengingatkan, membayar saman bukan semata-mata tindakan undang-undang sivil, tetapi juga tuntutan agama dan moral.
“Islam menuntut umatnya untuk menunaikan setiap hak termasuk hutang terhadap organisasi dan kerajaan kerana ia termasuk dalam hak masyarakat keseluruhan (huquq al-‘ibad).
“Ambillah peluang promosi kerajaan akhir tahun ini. Ia bukan sekadar menjimatkan wang, tetapi sebagai tanda keinsafan dan tanggungjawab kita sebagai Muslim yang berdisiplin serta berintegriti,” jelasnya.
Kempen diskaun saman PDRM, JPJ
– Kerajaan kini melaksanakan Kempen Pengurangan Saman Trafik 2025 yang mana potongan sehingga 70 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 50 peratus oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari 1 November hingga 30 Disember.
– Kempen ini bertujuan membantu rakyat melunaskan tunggakan saman. Di samping memulihkan semangat tanggungjawab terhadap undang-undang negara.
– Bayaran boleh dilakukan melalui aplikasi MyBayar PDRM, MyJPJ, portal rasmi, kaunter trafik, kiosk JPJ dan juga di Pos Malaysia.
– Mulai Januari 2026, sistem baru kompaun akan diperkenalkan dengan prinsip ‘Lebih cepat anda bayar, lebih sedikit anda perlu bayar’. Tiada lagi diskaun bermusim seperti tahun-tahun sebelumnya.
– Peluang ini perlu dimanfaatkan segera bagi mengelakkan sekatan urus niaga atau tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas pada masa akan datang.
Sumber : SI







