Ketenangan Dengan Membaca Dan Merenungi Al-Quran. | TAZKIRAH HARIAN : Al-Quran adalah sumber petunjuk dan rahmat bagi seluruh umat manusia.
Membaca dan merenungi Al-Quran bukan sekadar ibadah, namun ia juga merupakan cara untuk mencari ketenangan jiwa dalam kehidupan harian. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:
أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa ketenangan sebenar hanya akan diperoleh apabila kita mendekatkan diri kepada Allah melalui kalam-nya
MENGAPA AL-QURAN SUMBER KETENANGAN
Al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dibaca, tetapi juga untuk difahami dan diamalkan. Setiap ayat yang terkandung dalamnya adalah mesej Allah kepada hamba-Nya, penuh dengan hikmah dan panduan. Membaca Al-Quran dengan hati yang ikhlas akan membangkitkan rasa syukur dan harapan. Apabola kita merenungi maksud ayat-ayat suci, ia dapat menghilangkan kebimbingan dan kesedihan yang mengganggu hati kita.
MEMBACA AL-QURAN DENGAN TAJWID DAN TARTIL
Membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul bukan sahaja membawa pahala, tetapi turut menambah kecintaan kita terhadap kitab Allah ini. Rasulullah SAW bersabda,
“Orang yang membaca Al-Quran dengan tartil(perlahan-lahan) adalah bersama malaikat yang mulia dan berbakti”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketika kita meluangkan masa untuk membaca Al-Quran dengan betul, hati kita lebih mudah menerima mesej yang terkandung dan merasai ketenangan yang dalam.
TADABBUR AL-QURAN, MERENUNGI AYAT-AYAT ALLAH
Tadabbur adalah salah satu cara yang sangat dianjurkan untuk merenungi dan memahami makna ayat-ayat Al-Quran. Ia tidak hanya menambah kefahaman kita terhadap mesej Allah, tetapi turut menguatkan iman kita.
Ketika menghadapi ujian dan cabaran, cuba rujuk ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan untuk mendapat panduan. Allah SWT dalam Surah Muhammad, ayat 24, berfirman:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَآ
“Maka apakah mereka tidak mentadabburi Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?”
Perintah ini menggalakkan kita untuk lebih dekat dengan Al-Quran sebagai penawar kepada setiap masalah.
AMALKAN AL-QURAN DALAM KEHIDUPAN HARIAN
Membaca Al-Quran dengan penuh penghayatan tidak lengkap tanpa mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya. Mulakan dengan berusaha mengamalkan perintah-perintah Allah yang mudah, seperti berbuat baik kepada sesama kita, menjaga solat dan sentiasa bersabar. Dengan mengamalkan Al-Quran, kita bukan sahaja mendekatkan diri kepada Allah, tetapi juga memberi contoh yang baik kepada orang di sekeliling kita.
MENDAPAT SYAFAAT DI AKHIRAT
Al-Quran bukan sahaja memberi ketenangan di dunia, tetapi juga akan menjadi pemberi syafaat kepada kita di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda,
“Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembacanya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dengan istiqamah membaca Al-Quran, kita menabung pahala yang akan membantu kita di hari pembalasan kelak.
PENUTUP
Menjadikan Al-Quran sebagai peneman hidup adalah langkah menuju kabahagiaan abadi. Setiap kali kita membuka mushaf dan membaca ayat-ayatnya, kita sedang menjemput rahmat Allah ke dalam hati. Semoga Allah SWT memudahkan kita semua untuk mencintai, memahami dan mengamalkan Al-Quran sepanjang hidup kita.