lidah

Menjaga Lidah. Amanah Dalam Setiap Kata.

2024-11-03

Menjaga Lidah. Amanah Dalam Setiap Kata. | TAZKIRAH HARIAN : Lidah adalah satu anggota kecil yang sering kali kita pandang ringan tetapi ia mempunyai kuasa besar dalam menentukan kebaikan atau keburukan seseorang.
lidah
Islam mengajarkan agar kita menjaga lidah daripada perkara-perkara yang sia-sia dan menghindari perkataan yang menyakiti. Lidah kita adalah amanah dari Allah SWT dan kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang keluar darinya.

BAHAYA JIKA TIDAK DIKAWAL

Lidah yang tidak dikawal boleh membawa kepada dosa besar. Ia mudah membawa kita kepada mengumpat, fitnah, dusta dan memecahbelahkan hubungan. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menegaskan pentingnya memilih perkataan yang baik dan mengelakkan kata-kata buruk.
lidah

DIHIASI DENGAN ZIKIR

Mengisi lidah dengan zikir dan pujian kepada Allah adalah salah satu cara menjaga lidah kita dari perkataan sia-sia. Zikir bukan sahaja memberi ketenangan jiwa tatapi juga menambah pahala. Dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41, Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًۭا كَثِيرًۭا

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya.”

Ini mengingatkan kita untuk sentiasa menghiasi lidah dengan zikrullah sepanjang hari.
taubat

MENGHINDARI MENGUMPAT DAN FITNAH

Mengumpat dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam kerana ia boleh menghancurkan hubungan dan merosakkan keharmonian dalam masyarakat. Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12:

وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا

“Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.”

Setiap perkataan kita mesti dipilih dengan bijak dan berhati-hati agar tidak menyakiti perasaan orang lain.

KELEBIHAN BERBICARA DENGAN HIKMAH

Perkataan yang baik boleh menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi orang lain. Lidah yang digunakan untuk menasihati, memberi semangat dan membawa orang kepada kebaikan akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Perkataan yang baik itu adalah sedekah.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka, kata-kata yang digunakan dengan hikmah akan membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang di sekeliling.
tua

PENUTUP

Menjaga lidah adalah amanah yang perlu dipraktikkan setiap hari. Kita mesti mengingatkan diri untuk sentiasa bercakap yang baik atau diam jika tiada perkataan yang baik untuk dikatakan. Dengan menjaganya, kita menjaga hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. Semoga Allah SWT memelihara kita dari perkataan buruk dan menjadikan bahagian ini sebagai sumber kebaikan.

Artikel Lain