Bacaan Al-Quran

Sampai atau tidak pahala bacaan al-Quran kepada si mati?

2025-11-27


Sudahmenjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Setiap kali ada kematian, al-Quran dibaca dan pahalanya dihadiahkan kepada arwah. Tidak kiralah sama ada dilakukan secara individu di rumah atau di sisi pusara insan tersayang yang sudah meninggal dunia mahupun ketika mengadakan majlis tahlil.

Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah sebagai tanda kasih sayang dan harapan agar si mati menerima rahmat daripada ALLAH SWT. Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, para ulama berbeza pandangan dalam hal itu.

Ada yang berpegang bahawa pahala bacaan tidak sampai. Kerana tidak pernah diamalkan oleh golongan salaf (generasi awal umat Islam) dan hukumnya adalah makruh.

“Demikianlah pandangan daripada ulama terdahulu dalam Mazhab Maliki dan pandangan masyhur di sisi Mazhab Syafie,”.  Katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk Hukum menyedekahkan bacaan al-Quran kepada si mati yang disiarkan di laman web jabatan mufti berkenaan baru-baru ini.

Antara dalil yang sering dijadikan sandaran antaranya firman ALLAH SWT dalam surah al-Najm ayat ke-39: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

Berdasarkan ayat itu, jelas bahawa seseorang hanya mendapat pahala daripada amalan yang dilakukan oleh dirinya sendiri, bukan daripada usaha orang lain. Namun begitu, jelas Jabatan Mufti Negeri Selangor, jumhur ulama termasuk dalam Mazhab Hanafi dan Hanbali serta sebahagian ulama Syafie dan Maliki berpendapat sebaliknya.

Mereka mengharuskan amalan sedekah pahala bacaan al-Quran dan berpendapat ia sampai kepada si mati.

Mengulas tentang dalil digunakan, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, mereka berhujah dengan firman ALLAH SWT dalam surah al-Hasyr ayat ke-10:

“Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.”

Melihat ungkapan itu, jelas bahawa doa tersebut menjadi asas bahawa orang hidup boleh mendoakan, bahkan menghadiahkan pahala kepada yang telah pergi.

NABI S.A.W AJAR BERDOA

Bahkan, jelas jabatan mufti itu lagi, Rasulullah SAW juga turut mengajar umatnya supaya mendoakan orang yang telah meninggal dunia.

Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Uthman bin Affan RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:.  “Mintalah ampun oleh kamu sekalian akan saudara kamu dan mintalah untuknya keteguhan kerana sesungguhnya dia sekarang sedang disoal (oleh malaikat).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bahkan, dalam satu riwayat lain, Baginda SAW membenarkan seorang anak bersedekah untuk ibunya yang meninggal dunia secara mengejut. Dan Baginda menegaskan bahawa pahala itu tetap akan sampai.

“Amalan menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama.

“Walaupun ada yang berpendapat ia tidak sampai. Pandangan yang lebih kuat ialah ia sampai sekiranya diniatkan dan disertakan doa untuknya,” jelasnya.

Sumber : SI

Artikel Lain