Sirah Nabi. Kisah Berharga Untuk Umatnya. | TAZKIRAH HARIAN : Sirah Nabi Muhammad SAW adalah kisah kehidupan yang membawa pelajaran besar bagi umat Islam.
Melalui kisah hidup baginda, kita dapat memahami erti sebenar kesabaran, ketabahan, kasih sayang dan keihklasannya dalam menegakkan agama Allah. Bagi umat Islam, mempelajari sirah Nabi adalah satu cara untuk mendekatkan diri kepada baginda dan memperbaiki kehidupan dengan mencontohi akhlak mulianya.
PENGORBANAN DALAM MENYEBARKAN ISLAM
Salah satu aspek penting dalam sirah Nabi ialah pengorbanan yang dilakukan baginda untuk menyebarkan agama Islam. Ketika memulakan dakwah di Mekah, baginda menghadapi tentangan hebat dari masyarakat setempat. Namun baginda tidak pernah berputus asa. Keteguhan hati dan keazaman yang tinggi dalam menghadapi cabaran dan ancaman baginda teladan yang terbaik bagi kita. Rasulullah pernah disakiti dan dihina, tetapi tetap berlapang dada untuk memaafkan mereka yang mezaliminya. Perjuangan ini mengajar kita untuk tetap teguh dalam menghadapi ujian dan cabaran hidup demi mencapai keredhaan Allah.
KEADILAN DALAM PEMERINTAHAN
Sebagai seorang pemimpin, Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh yang sangat luar biasa dalam memimpin dengan penuh adil dan saksama. Ketika memerintah Madinah, Rasulullah menjaga kesejahteraan masyarakatnya tanpa mengira kaum atau agama. Semua pihak dilayan dengan adil dan penuh kasih sayang. Baginda menegakkan keadilan dan memastikan hak-hak semua orang terpelihara. Sikap ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang pemimpin harus berlaku adil, bertimbang rasa dan memastikan kebajikan semua rakyat terjaga.
KASIH SAYANG KEPADA SEMUA MAKHLUK
Sirah Nabi juga menggambarkan kasih sayang baginda kepada semua makhluk termasuk haiwan dan tumbuhan. Rasulullah SAW pernah menegur sahabat yang menyiksa seekor burung dan mengingatkan mereka tentang hak setiap makhluk. Bahkan Rasulullah sentiasa melayani orang miskin, anak yatim dan golongan yang memerlukan dengan penuh kasih sayang. Ini adalah contoh terbaik untuk kita agar sentiasa berbuat baik dan tidak menyakiti sesiapa pun, sama ada manusia atau makhluk lain.
KESABARAN MENGHADAPI UJIAN
Kisah hidup Rasulullah dipenuhi dengan ujian yang besar, tetapi baginda sentiasa bersabar. Ketika kehilangan orang tersayang seperti isteri baginda Khadijah dan anak-anaknya, baginda tetap tenang dan berserah kepada Allah SWT. Ujian-ujian ini mengajarkan kita untuk sentiasa bersabar dan yakin bahawa setiap ujian adalah rahmat yang membawa kita lebih dekat kepada Allah.
AKHLAK TERPUJI NABI MUHAMMAD SAW
Sirah Nabi menunjukkan kepada kita akhlak baginda yang sangat mulia. Baginda dikenali dengan sifat jujur, amanah, sabar dan lemah lembut. Dalam kehidupan hariannya, baginda sentiasa memberi contoh yang baik seperti mengucapkan salam, senyum kepada orang lain dan menasihati mereka dengan cara yang baik. Firman Allah dalam Surah Al-Azhab, ayat 21:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik untuk kamu”
PENGAJARAN UNTUK GENERASI MASA KINI
Sirah Nabi bukan sekadar sejarah, tetapi merupakan panduan hidup yang relevan bagi generasi masa kini. Setiap kisah hidup baginda mengajarkan kita cara menghadapi masalah dan mencari keredhaan Allah. Dengan meneladani baginda, kita dapat menjadi umat yang lebih bertenggungjawab, berakhlak mulia dan membawa kebaikan kepada masyarakat. Sirah Nabi juga membantu kita memahami bahawa kebahagiaan sebenar adalah dengan mengikuti jalan yang diredhai Allah.
PENUTUP
Sirah Nabi Muhammad SAW adalah khazanah yang tidak ternilai untuk setiap Muslim. Semoga kita terus mengambil iktibar daripada kisah baginda dan menjadikan setiap pengajaran daripada sirah Nabi sebagai panduan hidup. Inilah cara terbaik untuk memastikan kita menjadi umat yang teguh dalam iman, berpegang pada akhlak yang mulia dan mendapat keredhaan Allah SWT.